Perhitungan Tahun Baru: Fergie
 FLETCHER (kanan) meledak gol pertama United ketika menewaskan Everton 3-0 di Old Trafford, kelmarin.
|
MU belum sedia serah gelaran kepada Chelsea MANCHESTER: Sir Alex Ferguson mula menaruh kepercayaan betapa Manchester United boleh menguasai saingan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) jika mereka melangkah ke Tahun Baru dengan jurang mata yang hampir dengan pendahulu, Chelsea.
Pengurus berbangsa Scotland itu kini menjerit: “Buruan kami sudah bermula dari sini.”
Gol menerusi Darren Fletcher, Michael Carrick dan Antonio Valencia melengkapkan kemenangan 3-0 ke atas Everton di Old Trafford, kelmarin buat anak didik Ferguson meletakkan diri mereka hanya lima mata di belakang barisan pimpinan Carlo Ancelotti.
Pengurus United itu mengisytiharkan dirinya puas hati dengan persembahan pasukan selepas mengkritik pemainnya di atas kegagalan menyempurnakan peluang mereka di depan pintu gol dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
Dan dia mengekalkan bahawa seandainya mereka dapat mengurangkan defisit antara diri mereka dengan Chelsea dalam lima minggu akan datang, mereka boleh meningkatkan saingan kejuaraan dalam babak kedua kempen.
“Itu objektif kami,” katanya. “Saya sudah berulang kali menyatakannya, dan saya berpegang dengannya. Seandainya kami sampai ke Tahun Baru dan kami hanya ketinggalan satu mata atau pun mendahului satu mata atau pun sama, bererti kami mempunyai peluang terbaik dalam babak kedua musim.
Dan dia menambah: “Pemain saya menunjukkan permainan terkawal. Kami mempamerkan kesabaran dalam babak pertama sesuatu yang anda perlukan lakukan untuk menjinakkan pasukan seperti Everton.
“Apabila kami mendahului 2-0 kami tidak mengasak untuk membunuh mereka. Kami sudah pun melakukannya dan saya berpuas hati.”
United diletakkan atas landasan kemenangan dengan jaringan cantik Fletcher yang meledakkan voli melepasi Tim Howard di penjuru petak penalti Everton. - AFP